
Terma Hasil
- Bahasa Melayu - Malaysia
- Deutsch – Deutschland
- English
- Español - España
- Español - México
- Français - France
- Italiano - Italia
- Magyar – Magyarország
- Nederlands - Nederland
- Norwegian Bokmal
- Polski (Polska)
- Português - Brasil
- Português - Portugal
- Română - România
- Suomi – Suomi
- Svenska – Sverige
- Tagalog
- Tiếng Việt - Việt Nam
- Türkçe - Türkiye
- Ελληνικά - Ελλάδα
- Русский — Россия
- हिंदी भारत
- বাংলা
- ไทย
- 中文 - 繁體
- 简体中文
Berkuat kuasa 24 September 2024. Kali Terakhir Disemak 24 September 2024
Selamat datang! Kami teruja kerana anda berminat untuk memperoleh wang melalui satu atau lebih Program Reddit kami (setiap satu, dirujuk sebagai “Program Pendapatan”). Berikut ialah terma dan syarat (“Terma Hasil”) yang terpakai dan mentadbir penyertaan anda dalam Program Pendapatan serta membentuk perjanjian antara anda dengan Reddit. Terma Hasil ini terpakai sebagai tambahan kepada Perjanjian Pengguna, Terma Ekonomi dan Terma Pratonton kami (secara kolektif, dirujuk sebagai “Terma Reddit”), yang telah anda persetujui, dan termasuk terma tertentu yang ditakrifkan dalam Terma Reddit. Sila baca Terma Hasil dan Terma Reddit ini dengan teliti sebelum menerima terma tersebut dan menyertai mana-mana Program Pendapatan.
1. Penerimaan
Dengan mendaftar dalam mana-mana Program Pendapatan melalui Perkhidmatan tersebut, anda bersetuju untuk terikat dengan Terma Hasil. Selain itu, dengan membuat Sumbangan atau Aplikasi Devvit (setiap satu seperti yang ditakrifkan di bawah) atau dengan menerima Bayaran (seperti yang ditakrifkan di bawah), anda bersetuju untuk terus terikat dengan Terma Hasil. Jika anda tidak bersetuju dengan Terma Hasil, maka anda tidak boleh menyertai mana-mana Program Pendapatan.
Sesetengah penerima hasil mungkin diwakili oleh syarikat pengurusan, pengurus, agensi, ejen, publisis, atau individu atau organisasi lain. Jika anda bersetuju dengan Terma Hasil bagi pihak, pihak ketiga (cth., majikan anda, bakat yang anda atau syarikat pengurusan anda wakili, dan sebagainya), maka anda mewakili dan memberi jaminan kepada kami bahawa anda ialah wakil yang diberi kuasa dan mempunyai kuasa untuk mengikat pihak ketiga tersebut kepada Terma Hasil. Selain itu, sebarang penggunaan istilah “anda” dalam Terma Hasil ini juga akan merujuk kepada pihak ketiga tersebut.
2. Penerima Hasil yang Layak
Anda perlu memberikan maklumat tentang diri anda (yang mungkin merangkumi nama, tarikh lahir, alamat, Akaun, e-mel, maklumat cukai, pengenalan kerajaan dan maklumat pembayaran) serta sebarang maklumat tambahan yang diperlukan oleh Program Pendapatan yang berkenaan (secara kolektif, dirujuk sebagai “Maklumat Penerima Hasil” anda) untuk menyertai Program Pendapatan. Kami menggunakan Maklumat Penerima Hasil anda untuk menentukan sama ada anda layak menyertai Program Pendapatan (“Penerima Hasil yang Layak”) dan untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang.
Anda tidak layak untuk menyertai mana-mana Program Pendapatan jika:
-
Anda berumur kurang daripada 18 tahun atau sebaliknya kurang daripada umur minimum yang ditetapkan oleh undang-undang negara tempat tinggal anda untuk membuat kontrak yang mengikat;
-
Anda, atau majikan anda, adalah individu yang dilarang daripada melakukan transaksi di bawah sekatan ekonomi atau perdagangan, embargo, sekatan eksport, atau yang telah disenaraikan dalam mana-mana senarai pihak yang dilarang atau terhad, atau berada di (atau merupakan warganegara) negara yang tertakluk pada sekatan tersebut, atau dengan cara lain dihalang daripada menyertai mana-mana Program Pendapatan atau menggunakan Perkhidmatan di bawah undang-undang yang berkenaan;
-
Anda ialah atau mewakili pegawai kerajaan yang dilantik atau ditugaskan yang sedang memegang jawatan, calon politik dalam pilihan raya akan datang, jawatankuasa tindakan politik atau organisasi pengumpulan dana politik yang serupa, atau agensi atau jabatan kerajaan;
-
Anda telah melanggar atau sedang cuba melanggar Perjanjian Pengguna, Terma Ekonomi, Terma Pratonton, Terma Hasil, atau mana-mana dasar, terma dan syarat lain yang terpakai bagi pelbagai Perkhidmatan dan Program Reddit kami (termasuk mana-mana Program Pendapatan);
-
Anda gagal memenuhi mana-mana syarat Penerima Hasil yang Layak yang dinyatakan dalam Dasar Hasil Reddit; atau
-
Anda tidak memberikan Maklumat Penerima Hasil kepada kami atau, berdasarkan Maklumat Penerima Hasil yang anda berikan, Reddit menentukan bahawa anda tidak layak untuk menyertai Program Pendapatan.
Dengan menyertai Program Pendapatan, anda mewakili dan memberi jaminan kepada Reddit bahawa anda layak untuk menyertai Program Pendapatan serta akan mematuhi Terma Hasil dan semua Terma Tambahan, undang-undang, peraturan, dan pengawalan yang terpakai untuk penyertaan anda dalam Program Pendapatan.
Kelayakan untuk menyertai Program Pendapatan ditentukan sepenuhnya oleh Reddit, dan Reddit boleh mengubah keperluan Program Pendapatan pada bila-bila masa. Reddit juga berhak untuk menyekat, menggantung, mengehadkan atau menamatkan akses kepada Perkhidmatan, termasuk berkaitan dengan mana-mana Program Pendapatan, pada bila-bila masa, atas sebarang sebab atau tanpa sebab, mengikut budi bicara mutlak kami, tanpa notis awal atau liabiliti kepada Reddit (tertakluk pada undang-undang yang berkenaan).
3. Program Pendapatan
3.1 Gambaran keseluruhan
Reddit kini menawarkan Program Pendapatan untuk penyumbang, pembangun dan pencipta. Setiap Program Pendapatan mempunyai keperluan tersendiri tentang cara pendapatan dikira (“Pendapatan”) serta waktu dan sama ada Penerima Hasil yang Layak boleh menerima Bayaran daripada Reddit atas Pendapatan mereka (“Keperluan Bayaran”), seperti yang dihuraikan dalam Terma Hasil ini.
Semua Terma Tambahan untuk Program Pendapatan digabungkan melalui rujukan ini ke dalam, dan menjadi sebahagian daripada, Terma Hasil, dan sekiranya mana-mana Terma Tambahan bercanggah dengan Terma Hasil, Terma Tambahan akan mentadbir berkenaan dengan penyertaan anda dalam Program Pendapatan yang berkaitan.
3.2 Program Penyumbang
Perkhidmatan Reddit membolehkan anda menyumbangkan Kandungan daripada Akaun anda (termasuk maklumat, teks, pautan, grafik, foto, video, audio, strim, perisian, alat atau bahan lain) kepada komuniti dan redditor lain (secara kolektif, dirujuk sebagai “Sumbangan” anda). Redditor lain mungkin ingin menghargai Sumbangan anda dengan memberikan tambah undi dan Anugerah melalui Perkhidmatan, yang akan menyebabkan anda menerima karma dan/atau Emas.
Sebagai sebahagian daripada Program Penyumbang kami, sekiranya anda merupakan Penerima Hasil yang Layak, Reddit boleh memberi pampasan kepada anda bagi Sumbangan anda mengikut Terma Hasil dan Dasar Hasil kami (“Pendapatan Penyumbang” anda). Walau bagaimanapun, hanya Sumbangan yang dibuat melalui Akaun anda (dan bukan melalui mana-mana Akaun alternatif yang anda kawal) yang mematuhi semua undang-undang yang berkenaan serta Terma Hasil dan Dasar Hasil kami, pada waktu siaran dan bayaran dibuat, yang akan dianggap layak bagi Pendapatan Penyumbang di bawah Program Pendapatan ini (“Sumbangan Layak”). Pendapatan Penyumbang anda akan ditentukan berdasarkan kualiti Sumbangan Layak anda kepada komuniti, yang diukur berdasarkan jumlah karma yang anda peroleh bermula dari hari anda menerima Emas buat kali pertama dan dalam tempoh 12 bulan lalu seperti yang dihuraikan di sini , serta jumlah Emas yang anda terima daripada Sumbangan Layak dalam bulan sebelumnya (“Tahap Penyumbang” anda). Reddit tidak akan memproses Bayaran (seperti yang ditakrifkan di bawah) kepada anda melainkan anda memenuhi ambang minimum tertentu seperti yang dihuraikan di sini (“Tahap Penyumbang Minimum”). Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang Kadar Bayaran semasa (seperti yang ditakrifkan di bawah) bagi Pendapatan Penyumbang di sini.
Sebarang Emas daripada Sumbangan Layak akan diteruskan sehingga anda mencapai Tahap Penyumbang Minimum. Walau bagaimanapun, jika Akaun anda tidak aktif selama tempoh 12 bulan, maka anda akan kehilangan sebarang Hasil Penyumbang yang dikaitkan dengan Akaun anda.
3.3 Program Pembangun
Platform Pembangun Reddit (atau “Devvit”) membolehkan anda menawarkan Aplikasi Devvit (seperti yang ditakrifkan dalam Terma Pembangun kami) kepada komuniti dan redditor lain. Jika anda merupakan Penerima Hasil yang Layak serta Aplikasi Devvit dan juga Barangan Devvit anda layak untuk pengewangan di bawah Terma Pembangun, Garis Panduan Devvit, Terma Hasil dan Dasar Hasil kami (“Aplikasi Devvit Layak” dan “Barangan Devvit Layak”), maka anda dapat: 1) membolehkan redditor lain mendapatkan Barangan Devvit Layak anda dengan menggunakan Emas; dan 2) memperoleh wang sebagai sebahagian daripada Program Pembangun kami.
Memandangkan Aplikasi Devvit dihoskan pada Platform Pembangun Reddit, beberapa langkah perlu diambil untuk membolehkan redditor memperoleh Barangan Devvit Layak daripada Aplikasi Devvit Layak dengan menggunakan Emas. Reddit menyediakan alat pengewangan tertentu melalui Devvit dan perkhidmatan lain untuk membantu anda mengaktifkan pemerolehan Barangan Devvit Layak oleh redditor daripada Aplikasi Devvit Layak anda menggunakan Emas (secara kolektif, dirujuk sebagai “Perkhidmatan Hasil Devvit”). Untuk menerima Perkhidmatan Hasil Devvit, anda melantik Reddit sebagai ejen anda bagi tujuan pemungutan dan pemprosesan Emas daripada redditor melalui Devvit dan Perkhidmatan kami bagi pihak anda. Anda juga bersetuju bahawa Reddit boleh meminta, dan anda akan memberikan kepada Reddit, maklumat tentang Aplikasi Devvit Layak dan Barangan Devvit Layak anda dari semasa ke semasa.
Apabila redditor menggunakan Emas untuk mendapatkan Barangan Devvit Layak, anda berhak memperoleh (“Pendapatan Pembangun” anda) sejumlah nilai yang bersamaan dengan Emas yang digunakan oleh redditor untuk mendapatkan Barangan Devvit Layak daripada Aplikasi Devvit Layak anda mengikut Kadar Bayaran semasa. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Kadar Bayaran semasa kami, sila lihat pusat bantuan kami.
Untuk Barangan Devvit anda layak sebagai Barangan Devvit Layak, anda mestilah menyediakan terma penggunaan untuk Aplikasi Devvit anda serta menghuraikan Barangan Devvit anda dengan lengkap dan tepat dalam terma penggunaan tersebut atau secara langsung dalam Aplikasi Devvit anda. Penerangan ini sekurang-kurangnya perlu menyatakan: harga dalam bentuk Emas, penerangan Barangan Devvit, sebarang had terhadap Barangan Devvit, serta sebarang syarat atau keperluan kelayakan yang anda tetapkan terhadap Barangan Devvit tersebut. Anda bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyerahkan Barangan Devvit anda kepada redditor yang memenuhi syarat anda.
Anda juga mestilah memastikan bahawa Aplikasi Devvit dan Barangan Devvit anda mematuhi Terma Pembangun, Garis Panduan Devvit, Terma Hasil, Dasar Hasil, serta Terma Reddit lain, termasuk semua undang-undang yang berkenaan. Reddit berhak untuk mengalih keluar Barangan Devvit anda, menahan Bayaran (seperti yang ditakrifkan di bawah) kepada anda, serta menggantung atau melarang Akaun anda sekiranya kami menentukan, mengikut budi bicara mutlak kami, bahawa Aplikasi Devvit atau Barangan Devvit anda melanggar Terma Pembangun, Garis Panduan Devvit, Terma Hasil, Dasar Hasil, mana-mana Terma Reddit lain atau undang-undang yang berkenaan.
Terma Ekonomi dan Terma Pratonton Reddit (termasuk Dasar Bayaran Balik kami) terpakai pada Barangan Devvit anda. Anda mestilah menyediakan kaedah agar redditor yang menggunakan Emas untuk mendapatkan Barangan Devvit anda dapat menghubungi anda bagi menyelesaikan pertikaian secara langsung, dan anda (bukan Reddit) bertanggungjawab untuk menyelesaikan pertikaian tersebut. Jika anda tidak dapat menyelesaikan pertikaian tersebut dan Reddit percaya bahawa anda tidak menyerahkan Barangan Devvit kepada redditor seperti yang dihuraikan, kami boleh mengembalikan Emas kepada pengguna secara langsung bagi pihak anda dan mengurangkan Pendapatan Pembangun anda dengan sewajarnya. Untuk panduan lanjut tentang cara mengurus pertikaian, sila lawati Garis Panduan Devvit kami.
3.4 Program Pencipta
Portal Pencipta Reddit (seperti yang ditakrifkan dalam Terma Pencipta) membolehkan anda menyerahkan permintaan untuk menjual Avatar Koleksi kepada redditor lain melalui Perkhidmatan tersebut. Jika anda merupakan Penerima Hasil yang Layak dan menjual Avatar Koleksi mengikut Terma Pencipta kami, anda mungkin berhak menerima Pendapatan Pencipta (seperti yang ditakrifkan dalam Terma Pencipta kami). Sila semak Terma Pencipta kami untuk maklumat lanjut tentang Program Pencipta.
4. Terma Bayaran
4.1 Waktu Bayaran dan Kadar Bayaran
Jika anda merupakan Penerima Hasil yang Layak dan telah memenuhi Keperluan Bayaran yang berkenaan, maka anda layak menerima bayaran daripada Reddit untuk Pendapatan anda di bawah Program Pendapatan yang berkenaan (setiap satu, dirujuk sebagai “Bayaran”). Bayaran akan dibuat secara bulanan, bermula pada akhir bulan apabila anda memenuhi Keperluan Bayaran tersebut dan secara amnya diproses dalam tempoh 45 hari selepas akhir bulan tersebut. Sebagai contoh, jika anda memenuhi Keperluan Bayaran pada 18 Oktober, Reddit secara amnya akan membayar anda dalam tempoh 45 hari selepas 31 Oktober.
Bayaran hanya akan dibuat kepada anda sekiranya Reddit menentukan, mengikut budi bicara kami, bahawa 1) anda, Akaun anda, serta Sumbangan, Barangan Devvit dan/atau Avatar Koleksi anda yang dikaitkan dengan Bayaran tersebut layak untuk Pendapatan di bawah Program Pendapatan yang berkenaan; dan 2) anda memenuhi Keperluan Bayaran yang terpakai berkaitan dengan Pendapatan anda selaras dengan Terma Hasil dan Dasar Hasil serta mana-mana Terma Reddit lain yang berkenaan.
Jika anda menyertai Program Pendapatan yang membolehkan anda memperoleh Emas, maka, dengan menerima Bayaran, anda memilih untuk menebus sebarang Emas yang anda terima bagi Sumbangan Layak atau Barangan Devvit Layak kepada wang sebenar, mengikut kadar Bayaran semasa yang ditetapkan oleh Reddit untuk Program Pendapatan tersebut (“Kadar Bayaran”). Setelah ditebus, Reddit akan mengurangkan jumlah Emas yang anda peroleh apabila kami membuat pembayaran wang sebenar kepada anda berdasarkan Kadar Bayaran yang terpakai, dan turut mengurangkan Bayaran tersebut dengan sebarang yuran yang dikenakan seperti yang dihuraikan dalam Terma Hasil atau sebarang Terma Tambahan bagi Program Pendapatan tersebut. Reddit berhak untuk tidak memproses Bayaran sekiranya kami secara munasabah percaya bahawa anda telah atau akan melanggar Terma Hasil, Dasar Hasil, atau Terma Reddit yang lain. Reddit juga tidak membuat sebarang perwakilan, jaminan atau pernyataan berkenaan jumlah Pendapatan yang boleh anda jangka untuk diperoleh pada bila-bila masa berkaitan dengan mana-mana Program Pendapatan, dan kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang tindakan yang anda ambil berdasarkan jangkaan tersebut.
Anda akan dianggap telah menerima ketepatan mana-mana Bayaran kecuali anda memberitahu Reddit tentang sesuatu pertikaian dengan menghubungi kami dalam tempoh 90 hari selepas tarikh Bayaran yang berkenaan.
4.2 Suai Tugas dan Yuran Rakan Kongsi Pembayaran
Bagi menerima Bayaran, anda bersetuju untuk mendaftar dengan Rakan Kongsi Pembayaran yang dipilih oleh Reddit, yang boleh diubah oleh Reddit mengikut budi bicara mutlak kami. Anda tidak dibenarkan menggunakan penyedia pembayaran selain yang dipilih oleh Reddit. Sebarang Bayaran yang perlu dibayar kepada anda daripada Reddit akan dibuat melalui Rakan Kongsi Pembayaran kami.
Anda akan memberi Rakan Kongsi Pembayaran kami dan Reddit sebarang Maklumat Penerima Hasil atau maklumat lain yang diperlukan untuk menerima Bayaran melalui Rakan Kongsi Pembayaran tersebut, cth., maklumat tentang akaun bank milik anda di institusi kewangan yang dikawal selia dan Borang IRS W-9 atau W-8BEN (atau borang cukai alternatif yang boleh diterima oleh Rakan Kongsi Pembayaran kami dan Reddit).
Jika anda tidak memberikan semua maklumat yang diperlukan kepada Rakan Kongsi Pembayaran kami dan Reddit, anda mungkin tidak dapat menerima sebarang Bayaran yang perlu dibayar kepada anda. Reddit tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan, kelewatan, kerugian, kos, perbelanjaan, atau liabiliti yang timbul daripada atau berkaitan dengan ketidakupayaan anda untuk menerima Bayaran akibat kegagalan anda untuk memberikan maklumat ini.
Anda mengakui dan bersetuju bahawa Reddit tidak mengendalikan, memiliki atau mengawal mana-mana Rakan Kongsi Pembayaran, dan penggunaan anda terhadap mana-mana perkhidmatan Rakan Kongsi Pembayaran tersebut tertakluk pada terma dan dasar privasi Rakan Kongsi Pembayaran yang berkenaan. Anda bersetuju bahawa kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kelewatan, kegagalan, kerosakan, atau liabiliti yang disebabkan oleh mana-mana Rakan Kongsi Pembayaran, mana-mana pihak ketiga lain, keadaan force majeure, atau kegagalan anda untuk menyediakan akaun dengan betul dan tepat pada masanya bersama Rakan Kongsi Pembayaran kami, atau kegagalan anda untuk memberikan maklumat yang diminta bagi sebarang Bayaran.
Rakan Kongsi Pembayaran kami mungkin mengenakan yuran transaksi atas mana-mana Bayaran yang berkaitan dengan Program. Yuran ini dikenakan oleh Rakan Kongsi Pembayaran kami, bukan kami, dan berbeza-beza bergantung pada kaedah pembayaran yang dipilih. Jika Rakan Kongsi Pembayaran kami mengenakan yuran transaksi ke atas mana-mana Bayaran anda, maka Reddit berhak untuk memotong yuran transaksi tersebut daripada jumlah Bayaran anda.
4.3 Mata Wang Bayaran
Reddit secara lalai akan membuat semua Bayaran kepada anda dalam mata wang dolar A.S. Reddit dan Rakan Kongsi Pembayaran kami mungkin tidak dapat memindahkan Bayaran ke negara, entiti, atau individu tertentu mengikut undang-undang yang berkenaan atau atas sebab-sebab lain (cth., kadar pertukaran mata wang asing yang menghalang). Jika anda memilih untuk menerima mana-mana Bayaran dalam mata wang selain dolar A.S. tetapi yang disokong oleh kami, maka Reddit akan menukar jumlah yang perlu dibayar kepada anda berdasarkan kadar pertukaran yang ditentukan oleh Reddit atau Rakan Kongsi Pembayaran kami, yang mungkin termasuk yuran dan caj penukaran yang Reddit berhak potong daripada jumlah Bayaran anda.
4.4 Hak Reddit
Reddit berhak untuk menarik balik sebarang bayaran yang telah dibuat kepada anda, atau melaraskan atau mengimbangi sebarang Pendapatan yang perlu dibayar kepada anda di bawah mana-mana Program Pendapatan sebanyak 1) sebarang bayaran berlebihan yang telah dibayar kepada anda oleh Reddit atas apa-apa sebab, 2) sebarang tuntutan, pertikaian, permintaan bayaran balik atau pembalikan berkaitan dengan Sumbangan, Barangan Devvit atau Avatar Koleksi anda yang dikaitkan dengan Bayaran yang telah atau bakal dibayar oleh Reddit, dan 3) sebarang bayaran tertunggak kepada Reddit atau Rakan Kongsi Pembayarannya yang perlu dibayar di bawah Terma Hasil atau mana-mana Terma Tambahan bagi Program Pendapatan yang berkenaan. Reddit tidak berhutang faedah atas jumlah tersebut dan juga boleh mengkehendaki anda membayar balik jumlah itu kepada kami.
Selain itu, sekiranya kami percaya, mengikut budi bicara mutlak kami, bahawa sebarang penipuan, pengubahan wang haram atau pelanggaran undang-undang, peraturan atau Terma Hasil sedang berlaku dalam atau berkaitan dengan Program Pendapatan, anda mengakui dan bersetuju bahawa kami boleh menahan, melengahkan atau menuntut semula sebarang bayaran yang kami percayai, mengikut budi bicara mutlak kami, berkaitan dengan pelanggaran tersebut, melainkan dan sehingga perkara tersebut diselesaikan mengikut tahap kepuasan munasabah kami.
4.5 Cukai
Anda bersetuju bahawa anda bertanggungjawab untuk membayar semua cukai yang berkenaan yang mungkin timbul daripada penerimaan Pendapatan anda dan bahawa kami boleh memotong atau menahan sebarang cukai yang kami diwajibkan untuk potong atau tahan daripada sebarang Pendapatan yang dibayar kepada anda. Kecuali jika Terma Tambahan untuk Program Pendapatan menyatakan sebaliknya, Reddit menganggap semua Pendapatan yang dibayar kepada anda sebagai bayaran untuk perkhidmatan yang telah anda berikan kepada kami dan, jika berkenaan, akan melaksanakan sebarang pelaporan maklumat yang dikehendaki oleh undang-undang. Anda bersetuju untuk bekerjasama dan memberikan sebarang maklumat tambahan yang kami minta bagi mematuhi kewajipan pelaporan maklumat atau cukai yang berkaitan dengan Program Pendapatan.
4.6 Penerima Hasil yang Diwakili
Sekiranya anda adalah syarikat pengurusan, agensi, atau individu atau entiti yang serupa yang memasuki Terma Hasil ini bagi pihak Penerima Hasil, anda bertanggungjawab sepenuhnya, dan Reddit tidak akan bertanggungjawab atau menanggung liabiliti, untuk memenuhi terma mana-mana kontrak antara anda dengan Penerima Hasil, termasuk sebarang pengaturan pembayaran (kontrak tersebut antara Penerima Hasil dengan pengurus, ejen, atau wakil lain, “Perjanjian Pengurusan”). Sebagai alternatif, jika anda adalah Penerima Hasil yang diuruskan atau diwakili oleh individu atau entiti lain, anda bertanggungjawab sepenuhnya, dan Reddit tidak akan bertanggungjawab atau menanggung liabiliti, untuk memenuhi terma mana-mana Perjanjian Pengurusan yang berkenaan, termasuk sebarang pengaturan pembayaran.
5. Pengubahsuaian atau Pemberhentian
Reddit berhak untuk mengubah suai, meminda, atau membatalkan mana-mana Program Pendapatan; menambah, mengalih keluar, atau mengubah suai syarat, dasar dan had Program Pendapatan, serta menukar Kadar Bayaran dan yuran Program Pendapatan yang berkenaan pada bila-bila masa dan atas sebarang sebab melalui kemaskinian kepada Terma Hasil dan Dasar Hasil. Reddit tidak mempunyai kewajipan untuk terus menawarkan mana-mana Program Pendapatan pada masa hadapan hanya kerana program tersebut ditawarkan hari ini, dan kami juga tidak menjamin bahawa Pendapatan boleh ditebus sebagai wang sebenar pada masa hadapan. Kami berhak untuk menyemak Sumbangan, Barangan Devvit, Aplikasi Devvit dan Avatar Koleksi anda (secara kolektif dirujuk sebagai “Sumbangan Pendapatan”) serta aktiviti Akaun lain bagi menilai kesahihan Pendapatan anda, dan untuk menarik balik, melaraskan atau menolak Pendapatan anda sekiranya kami percaya bahawa anda telah melanggar Terma Hasil, Dasar Hasil, atau mana-mana Terma Reddit lain (termasuk semangatnya), atau bahawa Sumbangan Pendapatan anda tidak layak untuk Pendapatan di bawah Program Pendapatan.
6. Perwakilan dan Jaminan Anda
Anda mewakili, menjamin, mengakui dan bersetuju bahawa:
-
Anda layak untuk menyertai mana-mana Program Pendapatan yang anda mohon mengikut kriteria kelayakan Reddit di bawah Terma Hasil dan Dasar Hasil dan telah, sebelum bersetuju dengan Terma Hasil, membaca dan memahami implikasi Terma Hasil dan Dasar Hasil;
-
1) Anda ialah pemilik tunggal dan eksklusif bagi Sumbangan Hasil anda, atau anda mempunyai hak serta keizinan yang diperlukan untuk menggunakannya; 2) Sumbangan Hasil anda tidak melanggar, mencabuli, atau menyalahi hak pihak ketiga (termasuk hak harta intelek); 3) anda tidak memberikan sebarang hak atau lesen terhadap Sumbangan Hasil anda yang bercanggah dengan Terma Hasil, Terma Reddit, atau lesen yang diberikan oleh anda di bawahnya; 4) anda telah memperoleh hak terhadap Sumbangan Hasil anda tanpa melanggar mana-mana undang-undang, dan Sumbangan Hasil tersebut tidak tertakluk pada sebarang terma akreditasi atau syarat akses yang boleh dilanggar melalui penggunaannya oleh Entiti Reddit, selaras dengan Terma Hasil dan lesen yang anda berikan di bawahnya serta Terma Reddit; dan 5) Sumbangan Hasil anda tidak mengandungi sebarang harta intelek milik Reddit yang digunakan tanpa keizinan kami atau harta intelek milik pihak ketiga (termasuk, sebagai contoh, nama tokoh terkenal) yang digunakan tanpa keizinan mereka;
-
1) Sumbangan Hasil anda tidak, dan tidak dimaksudkan untuk, dilindungi oleh mana-mana persatuan, kesatuan, perjanjian tawar-menawar kolektif, atau perjanjian serupa, dan tiada sebarang bayaran baki atau bayaran jenis lain yang perlu dibayar oleh Reddit kepada anda, kepada mana-mana pihak ketiga, persatuan, kesatuan, pengurusan atau ejen, atau menurut mana-mana perjanjian tawar-menawar kolektif, berhubung dengan sebarang bayaran daripada Reddit kepada anda di bawah Terma Hasil atau berkaitan dengan penyertaan anda dalam Program Pendapatan; 2) Reddit tidak bertanggungjawab, dan tidak akan membuat sebarang potongan daripada bayaran kepada anda, bagi sebarang yuran, komisen, kos, perbelanjaan, atau bayaran dalam apa-apa jua bentuk kepada atau berkaitan dengan mana-mana pihak ketiga (termasuk mana-mana syarikat pengurusan, pengurus, ejen, peguam, wakil atau penyedia perkhidmatan) berhubung dengan sebarang hasil yang diperoleh atau bayaran yang dibuat kepada anda dalam Program Pendapatan; dan 3) Reddit tidak bertanggungjawab terhadap sebarang caruman, bayaran, cukai, atau potongan untuk Keselamatan Sosial, faedah persaraan, insurans pengangguran, anuiti, atau bayaran kepada dana pencen atau kebajikan yang dikehendaki oleh undang-undang atau mana-mana kesatuan sekerja, atau sebarang pemotongan atau cukai (selain sebarang cukai jualan yang dikutip oleh Reddit berkaitan pembelian); dan
-
Sumbangan Pendapatan anda, penyediaannya melalui Perkhidmatan, dan penyertaan anda dalam Program Pendapatan mematuhi dan akan terus mematuhi semua undang-undang, peraturan dan pengawalan yang berkenaan, serta Peraturan Reddit dan Dasar Hasil, termasuk juga Terma Hasil dan Terma Reddit.
Reddit mungkin memerlukan anda untuk memberikan maklumat dan dokumen tambahan dalam keadaan tertentu, contohnya, jika kami menerima permintaan daripada pihak berkuasa kerajaan, seperti yang ditetapkan oleh mana-mana undang-undang atau peraturan yang berkenaan, atau untuk menyiasat kemungkinan pelanggaran Terma Hasil. Reddit berhak untuk, mengikut budi bicaranya, menyahdayakan Akaun anda dan menyekat keupayaan anda untuk mengakses Perkhidmatan sehingga maklumat dan dokumen yang diminta diproses oleh Reddit. Jika anda tidak memberikan maklumat yang lengkap dan tepat sebagai respons kepada permintaan kami, maka Reddit boleh menolak untuk memulihkan akses anda kepada Perkhidmatan.
7. Had Liabiliti
Dengan menyertai Program Pendapatan, anda bersetuju bahawa liabiliti mana-mana Entiti Reddit akan dihadkan setakat maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan.
Entiti Reddit tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau liabiliti sampingan, tidak langsung, khas, punitif, berbangkit, atau yang seumpamanya yang timbul daripada atau berkaitan dengan Terma Hasil, sama ada di bawah kontrak, tort (termasuk kecuaian), liabiliti sivil, statut, liabiliti ketat, pelanggaran jaminan, atau sebarang teori liabiliti lain, dan sama ada mana-mana Entiti Reddit telah dimaklumkan, mengetahui, atau sepatutnya mengetahui kemungkinan berlakunya kerosakan tersebut, walaupun tujuan utama atau sebarang remedi terhad dalam Terma Hasil gagal dicapai.
Dalam apa-apa jua keadaan, jumlah keseluruhan liabiliti Entiti Reddit yang timbul daripada atau berkaitan dengan mana-mana Program Pendapatan, di bawah mana-mana teori liabiliti, tidak akan melebihi jumlah yang perlu dibayar kepada anda oleh Reddit berkaitan dengan Terma Hasil bagi tempoh 12 bulan yang serta-merta mendahului keadaan yang menimbulkan tuntutan terhadap liabiliti tersebut.
8. Ganti Rugi
Anda bersetuju untuk menanggung rugi, mempertahankan dan melindungi Entiti Reddit daripada semua kos, liabiliti dan perbelanjaan (termasuk yuran guaman) yang ditanggung oleh mana-mana Entiti Reddit berkaitan dengan sebarang tuntutan, tindakan guaman atau sebab tindakan (“Tuntutan”) oleh pihak ketiga yang timbul daripada atau berkaitan dengan: 1) Sumbangan Hasil anda; 2) pelanggaran anda terhadap Terma Hasil; 3) sebarang pelanggaran atau pencabulan lain terhadap mana-mana hak harta intelek, hak peribadi atau hak milik lain milik mana-mana individu atau entiti yang berpunca daripada pelaksanaan hak oleh Reddit di bawah Terma Reddit; 4) kegagalan anda untuk membayar sebarang cukai yang terpakai berkaitan dengan Bayaran anda atau kegagalan memberikan borang cukai yang lengkap kepada Reddit atau Rakan Kongsi Pembayaran kami; atau 5) jika anda ialah Penerima Hasil yang diwakili atau mewakili Penerima Hasil, sebarang pertikaian yang timbul di bawah Perjanjian Pengurusan.
Reddit mempunyai hak untuk: 1) meluluskan mana-mana peguam yang dilantik untuk mempertahankan sebarang Tuntutan terhadap mana-mana Entiti Reddit; dan 2) mengawal dan mengambil bahagian dalam pembelaan sebarang Tuntutan yang berkaitan dengan Reddit. Anda bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak pembela Reddit terhadap sebarang Tuntutan dan tidak akan menyelesaikan atau memeterai sebarang Tuntutan tanpa persetujuan bertulis daripada Reddit terlebih dahulu.
9. Tempoh dan Penamatan
Anda boleh menamatkan Terma Hasil pada bila-bila masa dan atas sebarang sebab dengan memadamkan Akaun anda serta berhenti menggunakan Perkhidmatan. Walau bagaimanapun, jika anda tidak menggunakan Perkhidmatan selama tempoh 12 bulan, Akaun anda tidak lagi akan mempunyai sebarang Pendapatan yang dikaitkan dengannya akibat ketidakaktifan yang berpanjangan.
Setakat yang dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan, kami mungkin menamatkan Terma Hasil, menggantung atau menamatkan Akaun anda, atau tidak memproses Bayaran kepada anda, pada bila-bila masa atas apa-apa atau tanpa sebab, termasuk kerana melanggar Terma Hasil, Dasar Hasil atau Terma Reddit yang lain.
Walau bagaimanapun, penamatan Terma Hasil tidak akan melepaskan Reddit atau anda daripada sebarang liabiliti yang berkaitan dengan sebarang pelanggaran (atau liabiliti yang timbul di bawahnya) Terma Hasil sebelum penamatan. Seksyen berikut akan terus berkuat kuasa selepas penamatan Terma Hasil: “Had Liabiliti,” “Ganti Rugi,” “Tempoh dan Penamatan,” dan “Terma Lain”.
10. Terma Lain
10.1 Maklumat Penerima Hasil
Maklumat Penerima Hasil anda akan digunakan selaras dengan Dasar Privasi kami dan bagi menentukan kelayakan anda untuk menyertai mana-mana Program Pendapatan. Kami mungkin berkongsi Maklumat Penerima Hasil anda dengan penyedia pembayaran dan pematuhan pihak ketiga bagi tujuan mengesahkan kelayakan anda untuk menyertai mana-mana Program Pendapatan, bagi mematuhi undang-undang, dan seperti yang dinyatakan dalam Dasar Privasi kami. Anda memberikan persetujuan kepada Reddit untuk mengumpul, menggunakan dan berkongsi Maklumat Penerima Hasil anda bagi tujuan tersebut. Sekiranya terdapat sebarang perubahan pada Maklumat Penerima Hasil anda, anda mestilah memaklumkan perubahan tersebut kepada kami dan memastikan Maklumat Penerima Hasil anda sentiasa tepat, lengkap dan dikemas kini sepanjang masa.
10.2 Kerahsiaan
Anda bersetuju untuk menyimpan Maklumat Sulit (seperti yang ditakrifkan di bawah) secara sulit dan melindungi Maklumat Sulit yang didedahkan dengan menggunakan tahap penjagaan yang sama seperti yang anda gunakan untuk melindungi maklumat sulit anda sendiri yang bersifat serupa, tetapi tidak kurang daripada tahap penjagaan yang munasabah, bagi mengelakkan penggunaan, penyebaran atau penerbitan Maklumat Sulit tanpa kebenaran. “Maklumat Sulit” termasuk sebarang maklumat yang didedahkan oleh Reddit kepada anda secara bertulis yang ditandakan sebagai sulit pada masa pendedahan, atau yang secara munasabah difahami, berdasarkan sifat maklumat tersebut atau keadaan pendedahannya, sebagai maklumat sulit. Maklumat Sulit tidak termasuk sebarang maklumat yang: 1) menjadi pengetahuan umum tanpa kesalahan anda; 2) diterima secara sah oleh anda daripada pihak ketiga tanpa sebarang kewajipan kerahsiaan; 3) didedahkan menurut peruntukan undang-undang; atau 4) didedahkan dengan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Reddit. Reddit mengekalkan semua hak harta intelek ke atas Maklumat Sulit yang didedahkan kepada anda.
10.3 Undang-Undang Mentadbir dan Bidang Kuasa
Kami mahu anda menikmati penyertaan dalam Program Pendapatan, jadi jika anda mempunyai isu atau pertikaian, anda bersetuju untuk membangkitkannya dan cuba menyelesaikannya dengan kami secara tidak formal. Anda boleh menghubungi kami untuk memberikan maklum balas dan menyuarakan kebimbangan anda di sini.
Setakat yang dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan, sebarang tuntutan yang timbul daripada atau berkaitan dengan Terma Hasil atau mana-mana Program Pendapatan akan ditadbir oleh undang-undang Negeri California, tanpa mengambil kira peraturan konflik undang-undangnya.
Semua pertikaian yang berkaitan dengan Terma Hasil atau mana-mana Program Pendapatan hanya boleh dibawa ke mahkamah persekutuan atau negeri yang terletak di San Francisco, California, dan anda serta Reddit bersetuju untuk menyerahkan kepada bidang kuasa peribadi secara eksklusif di mahkamah tersebut.
10.4 E-mel dan Notis Lain
Dengan bersetuju dengan Terma Hasil dan menyertai mana-mana Program Pendapatan, anda bersetuju untuk menerima komunikasi daripada kami atau komunikasi yang berkaitan dengan mana-mana Program Pendapatan melalui Akaun anda atau mana-mana alamat e-mel yang diberikan kepada Reddit oleh anda atau bagi pihak anda. Komunikasi daripada Entiti Reddit boleh merangkumi komunikasi operasi berkaitan Bayaran anda atau penyertaan anda dalam mana-mana Program Pendapatan, kemas kini berkaitan perubahan yang anda minta terhadap Bayaran anda atau sebarang perubahan dalam mana-mana Program Pendapatan, serta komunikasi berkaitan pemasaran atau promosi yang dijalankan oleh kami atau rakan kongsi pihak ketiga kami, serta berita berkaitan Reddit dan perkembangan industri. Jika anda menukar atau menyahaktifkan alamat e-mel yang anda berikan kepada Reddit, anda bersetuju untuk mengemas kini maklumat Akaun anda.
JIKA ANDA INGIN MENARIK DIRI DARIPADA E-MEL PROMOSI, ANDA BOLEH MENYAHLANGGAN SENARAI E-MEL PROMOSI KAMI DENGAN MENGIKUT PILIHAN NYAHLANGGAN YANG DISEDIAKAN DALAM E-MEL PROMOSI TERSEBUT.
Semua notis atau komunikasi dalam apa-apa jua bentuk yang dibuat atau dikehendaki untuk diberikan berhubung dengan mana-mana Program Pendapatan hendaklah dibuat secara bertulis dan dihantar ke Akaun anda atau ke alamat e-mel yang dikaitkan dengan Akaun anda melalui Perkhidmatan.
10.5 Perubahan pada Terma Hasil
Kami mungkin membuat perubahan pada Terma Hasil dari semasa ke semasa. Jika perubahan dibuat, kami akan menyiarkan Terma Hasil yang disemak. Jika perubahan tersebut adalah ketara mengikut budi bicara kami, kami juga mungkin memaklumkan kepada anda melalui e-mel ke alamat yang dikaitkan dengan Akaun anda atau melalui notis dalam Perkhidmatan kami. Dengan terus menyertai Program Pendapatan atau menerima Bayaran selepas Terma Hasil disemak, anda bersetuju untuk terikat dengan Terma Hasil yang telah disemak. Jika anda tidak bersetuju dengan Terma Hasil yang disemak, anda mestilah berhenti menyertai Program Pendapatan dan berhenti menerima Bayaran.
Anda mengakui dan memahami bahawa Terma Hasil boleh diubah dan mana-mana Program Pendapatan boleh dibatalkan pada bila-bila masa atas sebarang atau tanpa sebab, mengikut budi bicara mutlak kami, tanpa notis terdahulu atau liabiliti kepada Reddit (tertakluk pada undang-undang yang berkenaan). Sila semak Terma Hasil untuk sebarang perubahan; anda bertanggungjawab untuk berbuat demikian.
10.6 Pelbagai
Reddit boleh menugaskan sebarang hak dan kewajipannya di bawah Terma Hasil secara bebas. Anda tidak boleh menugaskan atau memindahkan sebarang hak atau kewajipan anda di bawah Terma Hasil tanpa kebenaran Reddit.
Untuk menyertai Program Pendapatan, anda mengakui dan bersetuju bahawa anda telah diberi peluang yang mencukupi untuk menyemak, merenung, dan mempertimbangkan Terma Hasil serta memahami sepenuhnya dan secara sukarela bersetuju dengan Terma Hasil tersebut. Anda juga mengakui dan bersetuju bahawa anda telah menerima, atau berpeluang untuk menerima, nasihat undang-undang bebas daripada peguam pilihan anda berkenaan kesesuaian untuk memasuki Terma Hasil.
Penyertaan anda dalam Program Pendapatan dan Terma Hasil tidak membentuk hubungan ejen, perkongsian, atau usaha bersama antara anda dengan Reddit. Anda tidak akan dianggap sebagai pekerja Reddit di bawah Terma Hasil untuk sebarang undang-undang persekutuan, negeri, atau tempatan, termasuk undang-undang yang berkaitan dengan potongan cukai pendapatan, pampasan pengangguran, pampasan pekerja, keselamatan sosial, atau Akta Sumbangan Insurans Persekutuan.
Tajuk dalam Terma Hasil hanya bertujuan sebagai rujukan dan tidak akan diambil kira dalam pentafsiran. Bagi tujuan Terma Hasil: 1) perkataan “termasuk,” “termasuklah” dan “termasuk tetapi tidak terhad kepada” akan dianggap membawa maksud “tanpa had”; 2) perkataan “seperti”, “sebagai contoh”, “cth.” serta mana-mana terbitan perkataan ini digunakan sebagai contoh sahaja dan perkara yang disenaraikan selepas perkataan tersebut tidak akan dianggap sebagai senarai lengkap; dan 3) perkataan “atau” digunakan dalam erti kata inklusif sebagai “dan/atau”, manakala istilah “atau”, “mana-mana” serta “sama ada” tidak bersifat eksklusif. Sebarang kekaburan dalam Terma ini tidak akan ditafsirkan terhadap mana-mana pihak berdasarkan dakwaan bahawa pihak tersebut telah merangka peruntukan ini.
Sekiranya mana-mana peruntukan dalam Terma Hasil atau pelaksanaan mana-mana peruntukan dalam Terma Hasil didapati bertentangan dengan undang-undang, tidak sah atau tidak dapat dikuatkuasakan, peruntukan tersebut akan diberi kesan sebanyak mungkin, dan peruntukan yang selebihnya dalam Terma Hasil akan terus berkuat kuasa sepenuhnya.
Tiada kegagalan oleh anda atau Reddit pada bila-bila masa untuk memberikan notis tentang sebarang pelanggaran oleh pihak yang satu lagi, atau untuk menuntut pematuhan terhadap mana-mana syarat atau peruntukan dalam Terma Hasil, akan dianggap sebagai pelepasan terhadap sebarang pelanggaran atau keingkaran selepas itu di bawah peruntukan tersebut atau mana-mana peruntukan lain.
Terma Hasil (termasuk Perjanjian Pengguna, Terma Ekonomi dan Terma Pratonton, yang digabungkan melalui rujukan ini ke dalam, dan menjadi sebahagian daripada Terma Hasil), serta sebarang perjanjian lain yang secara jelas digabungkan melalui rujukan ke dalam Terma Hasil, merupakan perjanjian yang mengikat secara sah antara anda dengan Reddit dan mengandungi keseluruhan perjanjian pihak-pihak berkenaan dengan perkara yang berkaitan dengan Program Pendapatan dan menggantikan semua komunikasi, wakil, pemahaman, dan perjanjian sebelumnya, sama ada secara lisan atau bertulis, antara pihak-pihak berkenaan dengan perkara tersebut. Sekiranya terdapat konflik antara mana-mana Terma Hasil dengan Terma Reddit yang lain, Terma Hasil akan mentadbir berhubung dengan mana-mana Program Pendapatan.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang Terma Hasil, sila hubungi kami.